Jumaat, 7 Oktober 2011

Khutbah Saya Hari Ini.

Hari ini saya menyampaikan khutbah di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam. Saya memilih tajuk "Cabaran Akidah Yang Sedang Melanda Umat Islam di Malaysia".
Saya memulakan khutbah dengan memberi gambaran bahawa kita semua sudah mengalami proses tarbiah yang mantap di bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Diharapkan pemantapan tarbiah ini membolehkan kita menghadapi cabaran-cabaran kehidupan di peringkat diri, keluarga terdekat, jiran tetangga dan masyarakat luas dengan lebih berupaya.
Saya memberitahu para jemaah bahawa cabaran-cabaran kehidupan yang setiap hari terpaksa kita berdepan dengannya masih lagi merupakan cabaran kecil. Cabaran ketidakcukupan belanja hidup, cabaran mendidik anak, cabaran mengikat tali kekeluargaan, cabaran mendepani berbagai-bagai gejala sosial yang meruntuhkan bagi saya masih lagi merupakan cabaran kecil yang boleh ditangani di peringkat individu masing-masing. Tetapi cabaran akidah bagi saya adalah merupakan cabaran terbesar kerana permasalahan akidah berkait dengan hubungan langsung antara kita dengan insan dan kita dengan Allah pencipta insan dan makhluk-makhluk yang lain. 
Kita sedang dilanda oleh gerak gempur kristianisasi. Mereka dengan seluruh kekuatan intelek, fizikal, mental dan intelektual serta kehebatan kebendaan yang mereka kuasai menjadikan ruang dakyah mereka begitu luas. Pendakyah-pendakyah Kristian yang kebanyakannya datang dari luar negara memang kebanyakannya sudah dilatih dalam aspek-aspek mendepani manusia sehinggakan mereka begitu bertenaga dan lestari dalam menjalankan kerja-kerja memurtadkan umat Islam khasnya.
Masyarakat Islam yang rata-ratanya lemah ajaran dan amalan agama, goyah kedudukan ekonomi, pincang kepimpinan dan sepi daripada tiupan semangat jihad menjadikan umat ini begitu terdedah kepada tipu helah pendakyah-pendakyah Kristian. 
Saya memberitahu sidang jemaah keadaan ini semakin parah dan umat Islam menjadi tenggelam punca bila berhadapan dengan situasi kristianisasi yang sebenarnya. Tuding menuding jari pun berlaku. Ini tidak menyelesaikan masalah.
Persoalan akidah hanya dapat diselesaikan bila umat Islam mempunyai kekuatan gabungan akidah-syariah-akhlak. Gabungan ini berkait rapat dengan soal ilmu-ilmu Islam yang rata-ratanya kebanyakan kita juga dhaif di bidang ini. Saya mencadangkan dalam khutbah saya itu supaya masjid dan surau dijadikan universiti terbuka rakyat dalam mana penduduk tempatan akan mengambil manfaat dengan sepenuhnya melalui aktiviti-aktiviti yang setiap hari ditaja di rumah-rumah ibadah tersebut. 
Saya meyakinkan para jemaah sekiranya mereka mengambil langkah-langkah positif dengan meningkatkan ilmu dan amalan agama, menggabungkan diri mereka dengan ahli-ahli agama dan sering bermuhasabah tentang kelemahan diri dalam konteks amalan agama, maka dakyah Kristian yang menggugat akidah akan dapat ditangani.
Akhirnya saya berpesan kepada diri saya dan memanjangkan pesanan kepada jemaah yang hadir agar mengambil ikrar supaya kita hidup sebagai muslim sejati dan pulang pangkuan Allah juga sebagai muslim sejati. Kesejatian muslim kita sudah tentu berpaksikan kepada kejernihan akidah.

1 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum dato'...
    Semoga Allah memberkati hidup dato' sekeluarga serta memberikan bantuan kepada dato' dalam usaha murni dato'..
    barokallahufiik...

    BalasPadam