KENYATAAN AKHBAR
EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU, INFRASTRUKTUR
DAN KEMUDAHAN AWAM
ISU PEMESONGAN AKIDAH
Sebagai EXCO Hal Ehwal Islam negeri ini saya sangat menyanjung tinggi titah yang dikeluarkan oleh istana mengenai isu pemesongan akidah yang hangat diperkatakan sejak beberapa minggu yang lalu.
Mengenai titah Baginda itu, saya suka melihatnya dari dua perspektif. Pertama, dari sudut bahasa titah itu sendiri yang begitu tegas menghendaki supaya perkara pemesongan akidah tidak lagi berlaku di negeri Selangor. Kedua, dari sudut semangat (spirit) titah tersebut dalam mana Baginda Sultan sebagai payung agama menzahirkan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap Islam khususnya yang berkaitan dengan akidah ummat.
Daripada kedua-dua perspektif yang dinyatakan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa Baginda Sultan mahukan MAIS dan JAIS sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung dalam isu ini supaya bertindak secara professional.
Saya akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah JAIS dan Ketua Penguatkuasa Agama bagi menyelami dan mengambil iktibar dari isi kandungan titah tersebut. Saya juga akan menentukan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan yang akan dilakukan mestilah menggunakan sistem pengurusan berprestasi tinggi dan peralatan yang canggih supaya setiap kes yang diambil dapat dipertahankan di muka keadilan.
Saya juga gembira atas kenyataan Baginda bahawa siasatan JAIS itu mengikut lunas undang-undang. Ia dengan sendirinya menyangkal dakwaan yang Pegawai Penguatkuasa JAIS membelakangkan peraturan dan undang-undang dalam menjalankan operasi 3 Ogos yang lalu.
Sekali lagi saya menjunjung kasih di atas titah Tuanku. Saya berbangga mempunyai Ketua Agama yang benar-benar memahami tuntutan-tuntutan agama. Saya yakin rakyat Selangor sentiasa gembira berada di bawah naungan Tuanku Sultan.
PEJABAT EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU,
INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM
Tarikh: 10 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan